Manfaat buah delima untuk kesihatan manusia
Buah delima merupakan sejenis tumbuhan malar hijau dari botani famili Punicaceae. Buah ini berasal daripada negara Iran, Afghanistan dan sekitar Himalaya. Namun, buah ini kini boleh didapati di sekitar tropika dan subtropika. Buah ini terbentuk daripada banyak kantung yang berisi pulpa berair yang berwarna merah jambu atau kemerah-merahan dan setiap kantung mengandungi biji.
Kandungan karbohidrat pada buah delima adalah lebih tinggi iaitu 15.6%, protein hampir 1%, dan lemak kurang dari 0.3%. Tambahan pula, buah delima juga kaya dengan vitamin C, E, B6, B1, B2, dan niasin. Tambahan pula, mineral yang paling banyak didapati dalam buah ini adalah kalium, kuprum dan zat besi.
Nilai-nilai khasiat yang terdapat dalam buah delima mampu membantu dalam proses penyembuhan semulajadi. Cara penyediaannya adalah dengan menjadikannya sebagai jus, sirap atau boleh juga memakannya dengan begitu sahaja.
1. Gangguan usus
Buah delima sangat sesuai dalam kes-kes cirit-birit berjangkit kerana kandungan astrigen dan anti-radang yang mampu membantu mengatasi penyakit ini. Selain itu, buah ini juga mampu mengatasi masalah kembung perut akibat daripada gas yang berlebihan. Tambahan pula, buah ini juga bermanfaat dalam membantu menyelesaikan masalah kejang perut.
2. Anemia
Penyakit anemia berlaku akibat daripada kurangnya zat besi dalam tubuh. Oleh itu, buah delima sangat baik untuk dikonsumsi kerana mengandungi kuprum yang berfungsi untuk menyerap zat besi.
3. Gangguan metabolisme
Buah delima sangat bermanfaat dalam membantu mengatasi masalah gangguan metabolisma seperti gout, asid urik dan obesiti. Hal ini kerana, buah delima mampu mengalkalikan dan membersihkan organ dalaman.
4. Alzheimer
Alzheimer merupakan penyakit yang menyebabkan seseorang itu menjadi pelupa. Untuk mengatasi masalah ini, pengambilan buah delima diyakini dapat membantu menguatkan lagi daya ingatan. Ini kerana, kandungan antioksida dalam buah delima diyakini mampu membantu mengatasi masalah pelupa.
5. Baik untuk jantung
Buah delima sangat baik untuk kesihatan jantung anda. Ini kerana, buah ini kaya dengan flavonoid dan vitamin antioksida yang mampu membantu menghentikan proses penuaan arteri. Dengan itu, aliran darah pada arteri adalah pada tahap normal.
6. Darah tinggi
Buah delima sangat bagus dalam memainkan peranan untuk mengatasi masalah tekanan darah tinggi. Buah delima mengandungi aspirin alami yang mampu membantu mengelakkan berlakunya pembekuan darah. Kebaikan buah delima ini sangat banyak terutamanya dalam aspek melancarkan peredaran darah.
7. Meningkatkan tahap kesuburan
Buah delima sangat bermanfaat terutamanya dalam meningkatkan tahap kesuburan wanita. Ini kerana buah delima mengandungi asam folat yang sangat penting untuk organ reproduksi wanita. Asam folat penting untuk kesihatan pada rahim dan kandungan dalam janin.
Kesimpulannya, setiap buah mengandungi khasiat masing-masing. Ini termasuklah buah delima yang kini banyak digunakan dalam bidang perubatan dan penghasilan produk kecantikan. Terdapat banyak lagi khasiat lain buah delima selain yang dinyatakan di atas. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada anda.
