Petua mengatasi masalah depresi

 Masalah depresi bukanlah sesuatu perkara yang boleh kita pandang rendah. Jika depresi dibiarkan secara berterusan tanpa mengambil solusi untuk keluar daripada masalah ini, sudah tentu akan berakibat fatal. Depresi merupakan penyakit gangguan mental di mana kita berasa tertekan dan sukar untuk mengambil keputusan yang benar. Depresi sering berlaku akibat daripada tekanan dalam kehidupan seharian atau mempunyai sejarah hidup yang gelap. Individu yang menghidap depresi ini lebih suka menyendiri dan kehilangan minat untuk melakukan aktiviti harian.  Mereka yang menghidap penyakit depresi ini lebih cenderung melakukan sesuatu tindakan yang luar daripada kawalan mereka akibat daripada tekanan yang dihadapi. Individu yang mempunyai gejala depresi seharusnya mengambil tindakan awal untuk menangani masalah ini agar tidak berlanjutan.

1. Berkongsi masalah 

 Berkongsi masalah merupakan solusi yang terbaik untuk melepaskan segala tekanan yang ada dalam diri kita. Jika anda mempunyai gejala depresi, anda seharusnya tidak menyimpan masalah tersebut sendirian. Tambahan pula, jangan pernah putuskan talian sosial anda dengan sahabat atau keluarga.  Seharusnya anda mencari seseorang yang boleh dipercayai seperti keluarga, saudara atau sahabat untuk dijadikan teman curhat. Walaupun mereka tidak dapat membantu anda keluar dari masalah, sekurang-kurangnya berkongsi masalah mampu menjadikan anda merasa tidak sendirian. Yakinlah bahawa, orang yang mengalami masalah depresi memerlukan teman untuk berkongsi masalah.

2. Rehat apabila anda berasa penat

 Rehat yang cukup mampu membantu kesihatan mental yang baik. Jika kita berasa penat dan ditambah lagi dengan kurangnya rehat, sudah tentu mental kita tidak berfungsi dengan baik. Tegasnya, rehat yang cukup sudah tentu membantu merendahkan tekanan dalam diri kita. Jangan pernah memaksakan sesuatu yang kita tidak mampu lakukan. Sentiasa ingat bahawa diri kita bukanlah robot yang boleh berkerja selama 24 jam. 

3. Luangkan masa untuk berolahraga

 Olahraga sangat bagus untuk membantu menyeimbangkan kesihatan tubuh badan serta mental. Olahraga akan membantu anda agar berasa lebih rileks dan dapat melupakan masalah yang sedang mengganggu fikiran. Tambahan pula, aktiviti seperti ini mampu membentuk kesihatan tubuh badan yang baik. Jangan pernah biarkan depresi mengganggu aktiviti harian anda. Isi masa lapang anda dengan ohlaraga yang anda minat dan bukannya memikirkan masalah yang hanya membuatkan anda berasa stres.

4. Beribadah

 Setiap orang mempunyai pegangan agama masing-masing. Adalah lebih baik jika anda mendekatkan diri kepada tuhan untuk mendapatkan jalan penyelesaian bagi masalah yang anda sedang hadapi. Beribadah mampu menjadikan kita lebih berfikiran positif serta mampu bertindak dengan bijak. Jangan pernah melayan fikiran negatif sehingga anda berasa tidak berguna dalam kehidupan.  Yakinlah bahawa, tuhan tidak pernah meninggalkan atau mengabaikan umatnya yang sedang berada dalam kesusahan.

5. Lakukan apa yang anda minati

 Setiap orang mempunyai minat yang berbeza-beza. Jangan pernah memaksakan diri untuk meminati sesuatu jika anda tidak berminat. Sebaliknya, tekuni apa yang anda minati agar setiap yang anda lakukan bukanlah satu paksaan untuk diri anda. Tegasnya, jangan biarkan orang lain yang menentukan minat anda. 

6. Sentiasa berfikiran positif

 Depresi berlaku apabila anda berfikiran negatif. Orang seperti ini cenderung berasa takut akan apa yang berlaku ke hadapannya. Mereka lebih suka mentafsir sesuatu yang belum tentu akan berlaku. Walaupun tekanan berlaku akibat pelbagai faktor tidak kira masa lalu yang suram atau tekanan kehidupan seharian atau juga boleh jadi faktor lainnya. Untuk menghindari masalah depresi ini, sentiasa berfikiran positif dan lepaskan perasaan negatif yang sedang melanda diri anda. Cubalah menerima setiap kenyataan yang berlaku dalam diri anda. Yakin bahawa, suatu hari nanti akan ada hari yang indah untuk anda.

7. Dekatkan diri dengan alam sekitar

 Alam sekitar merupakan pilihan terbaik untuk menenangkan minda anda. Ambil masa untuk menikmati alam sekitar. Cubalah tinggalkan harta dunia dan nikmati ciptaan tuhan. Yakin bahawa kaedah ini sangat bermanfaat kepada diri anda. 

 8. Atur masa makan dan minum 

 Tekanan yang ada dalam diri anda jangan jadikan sebagai penghalang kepada kemerosotan makan dan minum anda. Sentiasa pastikan makan dan minum mencukupi di samping menjaga gaya pemakanan yang sihat. Ini kerana, individu yang menghadapi depresi cenderung tidak menjaga pemakanan meraka dan tidak sedar bahawa tabiat buruk ini hanyalah menjadikan keadaan lebih teruk.

 Kesimpulannya, jangan biarkan masalah depresi menghantui kehidupan harian anda. Carilah solusi terbaik untuk keluar daripada masalah anda melalui tindakan yang rasional. Sentiasa sayangi diri kerana anda adalah orang yang berharga.

Catatan popular daripada blog ini

Kesan buruk maggie terhadap kesihatan manusia

Penyakit berbahaya bawaan lalat

Cara upload gambar atau video dalam paparan kualiti HD di Facebook