Makanan sihat untuk minda yang cergas

Jika anda seorang yang pelupa, sudah tentu keadaan ini akan menyebabkan anda runsing. Tambahan pula jika perkara tersebut adalah sangat penting. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang itu menjadi pelupa antaranya ialah, faktor usia. Difahamkan bahawa, semakin tinggi usia semakin kurang daya ingatan individu tersebut. Namun, jika kita perhatikan, orang muda bahkan kanak-kanak juga turut mengalami masalah ini. Oleh itu, adalah sangat penting untuk menjaga kesihatan minda untuk memastikan daya ingatan sentiasa kuat.
1. Kismis
Kismis merupakan salah satu makanan tambahan yang baik untuk perkembangan minda yang sihat. Ini kerana, kismis mengandungi boron yang berfungsi untuk meningkatkan tumpuan, koordinasi dan ingatan seseorang. Maka dengan itu, tidak hairanlah bahawa ramai antara ibu bapa menggalakkan anak-anak untuk mengkonsumsi kismis dalam makanan harian mereka. Oleh itu, jika anda inginkan minda yang sihat dan cergas, bolehlah amalkan tabiat pemakanan kismis dalam kehidupan harian.
2. Telur
Telur merupakan antara salah satu makanan yang sangat bergizi. Selain itu, telur mempunyai fungsi kesihatan yang tersendiri termasuk membantu dalam perkembangan minda yang kuat. Ini kerana, kandungan nutrisi kolin yang terdapat dalam sebiji telur sangat baik untuk kesihatan otak. Setiap peringkat umur juga boleh mengkonsumsi makanan ini dalam hidangan makanan harian.
3. Ikan
Ikan merupakan salah satu sumber makanan manusia yang sangat kaya dengan kandungan protein. Tambahan pula ikan juga sangat kaya dengan asid lemak omega-3 yang sangat baik untuk mendukung perkembangan otak yang sihat. Sebagai contoh, ikan pelagik. Oleh itu, jika anda ingin minda anda lebih tajam, bolehlah mengkonsumsi ikan dalam makanan harian. Namun, makanlah dalam kuantiti makanan yang seimbang untuk mengekalkan manfaat makanan tersebut.
4. Buah delima
Buah delima sangat terkenal kaya dengan manfaatnya terutamanya adalah untuk memperlambatkan penyakit alzheimer. Ini dikatakan demikian kerana, buah delima mengandungi polifenol yang berfungsi untuk memelihara sel-sel neuron dalam otak. Tambahan pula, kandungan nutrisi lain yang terdapat dalam buah delima sangat baik untuk kesihatan. Dengan mengamalkan buah delima dalam makanan tambahan harian, secara tidak langsung akan memelihara kesihatan otak anda.
5. Kekacang
Kacang sangat baik untuk kesihatan otak. Ini kerana, kacang mengandungi protein dan lemak yang sangat baik untuk membentuk minda yang cerdas. Contohnya adalah, kacang almond. Kacang almond mengandungi riboflavin dan L-karnitin yang mampu meningkatkan kecergasan dan kesihatan otak. Semua golongan umur boleh mengkonsumsi makanan mengikut cara tersendiri.
Kesimpulannya, masalah pelupa memang sering kali terjadi dan tidak mengira umur anda. Masalah ini memang sukar diatasi namun percaya akan kuasa penyembuhan melalui makanan sihat. Ubah tabiat pemakanan anda menjadi lebih sihat untuk menjamin kehidupan yang lebih bahagia tanpa sebarang penyakit.